Keris Bersempuh Emas ( Bab 2)

 

Bab 2: Kepulangan

Jam menunjukkan 9.17 malam. Di luar tingkap asrama, langit hitam legam disuluh lampu-lampu jalan. Angin malam bertiup perlahan, membawa masuk udara sejuk ke dalam bilik kecil yang dihuni Fahmi dan Ilham.

Fahmi sedang mengikat tali kasut, bersiap-siap di hujung katil. Beg galasnya sudah penuh berisi pakaian, laptop, dan buku nota kulit pemberian Tok Wannya. Dia berhenti seketika, termenung memandang jam tangan.

"Balik malam-malam ni rasa macam main mission rahsia je," gurau Ilham sambil menyandar di ambang pintu.

Fahmi senyum tipis. "Tok aku cakap hal penting… suara dia pun lain macam malam tu. Aku pun rasa tak sedap hati."

Ilham angguk, kemudian capai kunci motor. "Jom. Aku hantar kau."


Perjalanan ke stesen bas sunyi dan dingin. Jalan raya lengang. Lampu jalan berselang-seli menyala dan malap, mencipta bayang-bayang panjang di atas aspal. Fahmi hanya diam membisu sepanjang perjalanan, matanya sesekali melirik ke langit malam yang kelam tanpa bintang.

Setibanya di stesen bas, suasana tidak seramai waktu siang. Penumpang duduk berasingan, ada yang termenung, ada yang tertidur. Fahmi beli tiket ke Melaka, ke kampung Tok Wannya yang terletak jauh di dalam kawasan pedalaman.

Bas ke Melaka - Berlepas: 10.00 malam

"Thanks sebab hantar aku, Ilham. Jumpa minggu depan… kalau sempat," seloroh Fahmi dengan senyuman tawar.

"Eh, jangan sembarangan bro. Benda bukan-bukan jangan sebut. Kau okay ke ni?" tanya Ilham dengan kening berkerut.

Fahmi hanya angguk perlahan.

Mereka bersalaman sebelum Ilham berlalu. Fahmi duduk di bangku batu berhampiran platform. Lampu stesen suram, bunyi cengkerik malam bercampur dengan deruman enjin sesekali mengisi ruang sepi.

Bas tiba tepat pukul 10.00 malam. Enjin berdengung berat, dan pintu terbuka dengan dengusan hidraulik. Fahmi naik perlahan, memilih tempat duduknya di tingkat bawah — nombor 9A, tepi tingkap.

Sebaik duduk, dia memandang keluar. Stesen kelihatan hampir kosong.

Hampir.

Di seberang jalan, berdiri seorang lelaki berpakaian serba hitam, berjubah panjang, rambut mengurai dan wajah diselubungi bayang. Lelaki itu berdiri kaku, memandang tepat ke arahnya tanpa kelip.

Lampu jalan di belakang lelaki itu berkelip-kelip… kemudian padam sepenuhnya.

Dalam gelap, lelaki itu mengangkat tangan perlahan — seolah memberi isyarat… atau salam.

Fahmi telan liur.

Kelip mata sekali — susuk itu hilang.

Jantungnya berdegup kencang. Tangan menggenggam tali beg erat.

“Tenang… mungkin bayangan. Kau penat je.”

Bas mula bergerak, meninggalkan stesen dan menelan Fahmi ke dalam perjalanan malam yang gelap dan panjang.

Tapi jauh di dalam dirinya, Fahmi tahu…

Dia tidak keseorangan.


Sudah hampir satu jam perjalanan, dan malam semakin kelam di luar tingkap. Hutan di tepi lebuhraya hanya kelihatan sebagai bayang hitam pekat yang menyelubungi jalan yang sunyi. Lampu dalam bas malap, penumpang ramai yang sudah lena dibuai mengantuk.

Fahmi, yang sejak awal cuba melawan rasa letih, akhirnya terlena juga.


Dalam mimpi, dia kembali ke gelanggang silat berpelita yang sama.

Tapi kali ini, api pelita bergoyang kuat, seolah-olah ditiup angin dari dunia lain. Pondok kecil di hujung gelanggang itu terbakar samar-samar dengan cahaya merah, dan di tengah gelanggang, pahlawan bertengkolok itu sudah menunggunya.

Wajahnya kini semakin jelas — kulit sawo matang, mata tajam, janggut halus menghiasi dagu. Suaranya bergema seperti dari dasar bumi.

"Anak muda… perhatikan kata-kataku. Ada yang dihantar malam ini… bukan manusia… mahu halang kau dari pulang ke kampung."

Fahmi menelan liur, cuba memahami maksudnya.

"Jangan sesekali turun dari bas. Apa pun yang berlaku, bertahan di dalam. Ingat ayat pendinding yang diajarkan oleh orang tuamu. Zikir. Jangan tinggalkan perlindunganmu."

"Dan bila ia datang… kau akan tahu."


Fahmi tersentak bangun.

Peluh membasahi tengkuk. Nafasnya pendek-pendek.

Tangannya segera masuk ke poket hoodie — menarik keluar seutas tasbih kecil yang selalu dibawanya. Dalam hati, dia mula berzikir perlahan, seperti yang diajar Tok Wannya sejak kecil.

"La ilaha illallah… La ilaha illallah…"

Tiba-tiba —

DUM!!

Bas terasa seperti melanggar sesuatu besar. Tubuh Fahmi terhumban ke hadapan sedikit. Penumpang lain terjaga dalam kekecohan.

"Apa benda tu bang?!"

Pemandu memperlahankan bas ke tepi jalan dan berhenti. Dia keluar bersama konduktor untuk memeriksa.

Tak lama kemudian, pemandu naik semula.

"Tenang semua, ada kerosakan kecil je. Kita rest sini sekejap, nak sejukkan enjin."

Tapi dalam bas… penghawa dingin terus terpadam. Haba mula terasa menyesakkan.

Seorang demi seorang penumpang mula keluar ke luar bas, duduk di pembahagi jalan, ada yang merokok, ada yang menyandar dan menyalakan lampu telefon.

Fahmi masih di dalam.

Dia teringat pesan pahlawan tadi. Jangan turun. Apa pun yang berlaku.

Dan sebaik semua orang sudah keluar, dan bas tinggal Fahmi seorang, suasana mula berubah.

Angin mula bertiup masuk ke dalam celah tingkap yang sedikit terbuka, membawa bau hancing dan amis yang sukar digambarkan. Lampu dalam bas berkelip.

Suara garau berbisik di telinganya…

"Kau tak sepatutnya pulang, pewaris…"

Tiba-tiba — sesuatu muncul di hadapannya.

Seekor harimau belang, matanya merah menyala, lidah terjelir menjilat udara, muncul entah dari mana. Nafasnya berasap, dan kuku tajamnya mencakar lantai bas, meninggalkan kesan bakar.

Fahmi kaku, tapi tangannya spontan bergerak — ayat kursi mula dibaca, lidahnya lancar, suaranya penuh keyakinan.

"Allahu la ilaha illa huwa al-hayyul qayyum…"

Makhluk itu mengaum dan melompat ke arah Fahmi — tapi sebelum sempat menerkam, cahaya putih menyilau dari tubuh Fahmi, memanah ke arah makhluk itu.

BOOM!

Makhluk itu meletup menjadi kabus hitam, lalu ghaib tanpa jejak.

Lampu bas menyala semula. Enjin berdengung. Pintu terbuka perlahan.

Penumpang mula naik semula, berborak kosong. Tiada siapa tahu apa yang berlaku tadi.


Pukul 3.15 pagi, bas berhenti di sebuah hentian kecil di pinggir pekan lama Melaka.

Tok Wan sudah menunggu di bawah lampu jalan, memakai kain pelikat, baju melayu dan serban nipis. Wajahnya tenang, senyum sedikit — tapi matanya penuh makna.

Fahmi turun, dan mereka bersalaman. Tangan Tok Wan hangat, kuat menggenggam.

"Macam mana perjalanan?" soalnya perlahan.

Fahmi diam. Matanya mencari isyarat pada wajah Tok Wan. Tapi lelaki tua itu hanya senyum senget, seolah tahu semuanya.

"Jom, balik dulu. Esok kita bincang," katanya ringkas.

Dan tanpa banyak tanya, Fahmi ikut langkah Tok Wan, menuju ke rumah tradisional yang lama tidak dijejakinya…
yang menyimpan lebih banyak rahsia dari yang dia sangka.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Rasputin: Kegelapan yang Bangkit (Bab 1)

Keris Bersempuh Emas ( Bab 4 )

Himpunan Kisah Seram ( Episod : Tumpang)