Keris Bersempuh Emas ( Bab 3)
Bab 3: Panggilan Dari Dalam
Suasana kampung pagi itu tenang. Udara segar menyapa dari tingkap terbuka. Di celah dedaun, cahaya bulan yang bersisa masih menyimbah lantai rumah papan tradisional yang berusia lebih 70 tahun itu.
Fahmi baru tiba lewat malam tadi. Penat dan lesu, dia terus rebah di atas tilam nipis dalam bilik lamanya. Bau kayu lama dan wangi limau purut mengimbau kenangan zaman kecilnya.
Dia akhirnya terlelap…
Tok! Tok! Tok!
Suara ketukan lembut disusuli suara yang sangat dikenalinya.
"Fahmi… bangun nak. Solat subuh dulu."
Fahmi membuka mata perlahan. Suara Tok Wan kedengaran dari luar pintu. Dia bingkas bangun, membasuh muka dan bersiap.
Tak lama kemudian, mereka solat berjemaah di ruang utama rumah. Bacaan Tok Wan merdu dan tenang, membawa satu ketenangan yang sudah lama Fahmi tidak rasai. Usai solat, mereka duduk berteleku, berzikir perlahan.
"Fahmi, macam mana hidup kau di universiti? Belajar okay?"
Fahmi senyum kecil.
"Alhamdulillah Tok… sibuk, tapi seronok. Ada juga masuk kelab silat. Dapat rasa semangat tu balik, macam dulu Tok ajar."
Tok Wan mengangguk, wajahnya ceria.
"Baguslah. Ilmu tu bukan sekadar untuk bertarung. Tapi untuk kenal diri dan jaga warisan."
Mereka berbual ringan seketika. Gurauan Tok Wan dan gelak kecil Fahmi mengisi pagi yang damai. Setelah itu, Tok Wan bangun perlahan.
"Tok keluar kejap ke warung Pak Daud. Ambil sarapan. Kau duduklah dulu. Nanti Tok balik."
Fahmi berjalan perlahan di sekitar rumah.
Angin pagi meniup perlahan di laman rumah yang luas. Pokok manggis dan rambutan masih tegak berdiri seperti dulu. Gelanggang silat tanah merah di hadapan rumah juga masih ada — walaupun rumput sudah mula mencelah di celah-celah tapaknya.
Fahmi berdiri di tengah gelanggang, memandang sekeliling. Angin berdesir membawa suara-suara kenangan.
“Ingat Mi… darah dalam tubuh kau ni bukan darah biasa. Ia bawa warisan. Tanggungjawab. Amanah.”
— suara Tok Wan suatu masa dahulu, terngiang kembali.
Dia menutup mata, membayangkan dirinya yang kecil berlatih langkah pertama silat, diasuh dan dimarahi oleh Tok Wan yang tegas tapi penyayang.
Fahmi kembali ke dalam rumah dan duduk di kaki tangga dalam, bersebelahan ruang tamu.
Tiba-tiba…
"Fahmiiii…"
Suara itu perlahan — nyaring dan menggema seolah dari celah-celah dinding. Ia datang dari dalam rumah. Lebih tepat lagi…
Dari bilik Tok Wan.
Fahmi bangun perlahan. Langkahnya teragak-agak. Sejak kecil, bilik itu larangan keras. Tok Wan selalu kata:
"Bilik tu tempat amanah… bukan tempat main. Jangan masuk selagi Tok tak izinkan."
Tapi suara itu… seolah-olah memanggil namanya dengan lembut tapi mendesak.
Tangannya terulur, jari hampir menyentuh tombol pintu kayu yang berukir indah itu…
"Fahmi."
Satu tangan kuat memegang bahunya dari belakang.
Fahmi terkejut dan menoleh. Tok Wan.
Wajahnya biasa — tenang seperti tadi. Tapi matanya seolah-olah sedang membaca isi hati Fahmi.
"Buat apa kat sini, Mi?"
"Saya… saya dengar macam ada suara, Tok."
Tok Wan diam beberapa saat.
Kemudian dia senyum. Tenang, tapi seperti menyimpan sesuatu.
"Jom. Sarapan dah sampai."
Tanpa banyak soal, Tok Wan pimpin Fahmi ke dapur.
Di atas tikar mengkuang, nasi lemak panas dan kuih-kuih tradisional sudah tersusun.
Tok Wan menuang teh panas ke dalam cawan.
"Makan dulu. Banyak benda nak cerita… tapi bukan pagi ni."
Fahmi hanya angguk.
Sambil mengunyah perlahan, matanya sekali-sekala melirik ke arah bilik Tok Wan yang tertutup kemas.
Dia tahu — suara itu benar.
Dan bilik itu bukan sekadar bilik biasa.
Pagi semakin hangat ketika Tok Wan bersuara sambil meneguk sisa teh panasnya.
"Tok nak ke dusun kejap. Buah langsat tengah masak ranum. Kalau tak petik, sayang je jatuh ke tanah."
Fahmi bangun, regangkan badan yang sedikit lenguh.
"Saya ikut Tok. Boleh bantu sekali."
Tok Wan tersenyum senang. Mereka pun bersiap, membawa bakul, galah, dan parang kecil sebelum berjalan menyusuri denai kecil di belakang rumah menuju ke dusun warisan keluarga.
Dusun itu luas, dikelilingi pokok-pokok tua yang sudah berpuluh tahun berbuah. Langsat, duku, rambutan, manggis, semuanya subur. Bau tanah basah bercampur aroma buah-buahan memenuhi udara. Suasana sunyi — hanya bunyi cengkerik dan unggas bersahutan.
Fahmi bantu Tok Wan memetik dan mengumpulkan buah langsat yang sudah kuning ranum. Sambil bekerja, mereka berbual kosong — tentang kampung, jiran lama, dan kenangan silam.
"Buah ni Tok nak jual kat kedai Pak Husin. Dia biasa tolong jualkan," kata Tok Wan sambil mengelap peluh di dahi.
Menjelang tengah hari, kerja di dusun hampir selesai. Tok Wan lap peluh dan bersandar di pangkal pokok.
"Fahmi, kau bawalah buah ni ke kedai Pak Husin. Guna motor roda tiga kat belakang rumah tu."
Fahmi angguk, terus angkat beberapa bakul buah ke atas kenderaan kecil itu. Bunyi enjin motor usang itu mengaum perlahan, menyusuri jalan kampung yang beralun.
Sampai di kedai Pak Husin, sebuah bangunan kayu separa batu yang terletak di simpang jalan, Fahmi parkir dan turun membawa buah ke dalam.
Tapi matanya sempat menangkap sesuatu.
Dua susuk tubuh berdiri di hujung rak kedai. Seorang berpakaian jaket hitam, seorang lagi bersongkok dan berkaca mata gelap — tak sesuai dengan cuaca panas tengah hari. Mereka seolah-olah memerhati dari jauh, berbual perlahan.
Fahmi tak hiraukan. Dia terus menyapa Pak Husin di kaunter.
"Assalamualaikum Pak Husin, saya hantar buah Tok Wan."
Pak Husin menoleh dengan senyuman lebar.
"Waalaikumsalam, wah lama tak nampak! Bila balik kampung? Makin tinggi dah budak ni!" gurau Pak Husin sambil menepuk bahu Fahmi.
Fahmi tersenyum sambil meletakkan buah.
"Baru semalam sampai, Tok suruh hantar ni."
Pak Husin mengangguk dan mengira buah-buah tersebut. Tapi nadanya berubah sedikit, lebih perlahan.
"Eh, tadi ada dua orang tanya pasal rumah Tok Wan kau… Katanya kawan lama. Tapi bila Pak Husin nak tunjuk jalan, entah ke mana hilangnya… pelik."
Fahmi diam. Perasaan tak sedap mula muncul semula.
"Macam mana rupa dia Pak?"
"Tak sempat tengok betul-betul… tapi… aura dia lain. Bukan macam orang sini."
Selesai urusan, Fahmi minta diri dan kembali ke rumah.
Tok Wan sudah pun sampai, duduk di anjung rumah dengan tenang. Wajahnya seperti tahu sesuatu, tapi tak ditanya terus.
"Letak motor, pergi mandi. Lepas tu kita solat zuhur sama-sama," arah Tok Wan sambil senyum nipis.
Fahmi akur, mandi dan bersihkan diri. Setelah itu, mereka solat zuhur berjemaah, dan seperti biasa Tok Wan memimpin bacaan dengan tenang.
Selesai solat, Tok Wan duduk bersila, menoleh pada Fahmi.
"Lepas asar nanti, turun gelanggang dengan Tok."
"Eh, silat ke Tok?"
"Ya. Silat ni bukan sekadar gerak badan, Mi. Ia warisan. Kalau tak dijaga, hilanglah akar. Kau kena tajamkan semula."
Fahmi angguk perlahan. Hatinya berdebar sedikit — bukan kerana latihan, tapi kerana terasa seakan semua ini menuju ke sesuatu yang lebih besar.
Dan mungkin... silat yang diajar Tok Wan bukan sekadar untuk pertahanan biasa.
Ulasan
Catat Ulasan